22 May
Kaedah Penulisan Isi dalam Karangan

KAEDAH PENULISAN ISI KARANGAN

Karangan berbentuk fakta adalah sebuah karangan yang memerlukan penulis mengetahui pelbagai fakta yang sedia ada dan bukan hasil rekaan atau imaginasi penulis itu sendiri. Kesemua fakta  boleh diperoleh daripada hasil pembacaan atau pengetahuan yang didapatkan dalam kehidupan seharian.

Antara perkara yang paling penting dalam menghasilkan sebuah karangan fakta yang menarik dan bagus ialah :

  • Mengetahui kehendak soalan

Pelajar perlu memastikan isi-isi yang ingin disampaikan adalah berkait dengan arahan yang diberikan.

Sebagai contoh :

Amalan gaya hidup sihat semakin kurang dititikberatkan oleh golongan masyarakat pada hari ini. Tulis sebuah karangan mengenai amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Arahan yang diberi adalah pelajar perlu menghuraikan mengenai ‘amalan membentuk gaya hidup sihat dalam masyarakat’. Oleh hal demikian, kesemua isi karangan hendaklah berkaitan dengan amalan gaya hidup sihat dan tidak boleh sama sekali menghuraikan isi yang bercanggah dengan arahan yang diberikan.

  • Menghasilkan perenggan.

Bagi menghasilkan sebuah karangan yang berkualiti, terdapat tiga perkara penting yang perlu ada dalam karangan iaitu :      



PENGENALAN

Pengenalan adalah sebagai pembukaan dalam menghasilkan karangan. Pada peringkat ini, pelajar dikehendaki memperkenalkan secara perkara yang akan dihuraikan dalam perenggan isi. Kebiasaannya, penulisan dalam perenggan pengenalan adalah bersifat umum namun masih tetap berkait dengan isu yang bakal dihuraikan dalam perenggan isi dan perlu ada ayat tesis yang menjadi asas pengembangan seluruh karangan.


ISI

Bagi perenggan isi, terdapat beberapa panduan yang boleh digunakan oleh pelajar untuk menghasilkan karangan yang bermutu. Panduan tersebut sangat berguna bagi pengembangan idea supaya isi yang bakal ditulis tidak melencong daripada arahan asal yang telah diberikan.

  • Ayat topik – Isi utama bagi tema dan menyokong ayat tesis.
  • Ayat penyangga utama – Ayat yang menyokong ayat topik. Kebiasaanya mengandungi data-data, fakta-fakta dan huraian.
  • Ayat penyangga kecil – Menerangkan dengan lebih lanjut mengenai ayat penyangga utama dan sebagai penyokong ayat topik.
  • Ayat kesimpulan – Membuat kesimpulan mengenai isi yang dibincangkan dalam keseluruhan perenggan.


PENUTUP

Pada perenggan ini pelajar perlu merumuskan segala isi-isi yang telah ditulis dalam satu perenggan. Pada akhir ayat, pelajar boleh menyatakan harapan untuk tajuk yang dipilih terbabit.


KERANGKA CONTOH KARANGAN

Tajuk : Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Pendahuluan

  • Ayat tesis - Terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


Perenggan isi

        Isi 1

  • Ayat topik – Seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya.
  • Ayat penyangga utama – Orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah.
  • Ayat penyangga kecil – Mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita.
  • Ayat kesimpulan – Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.

        

        Isi 2

  • Ayat topik – Aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan ceria.
  • Ayat penyangga utama – Boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu.
  • Ayat penyangga kecil – Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan.
  • Ayat kesimpulan – Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.


        Isi 3

  • Ayat topik – Perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit.
  • Ayat penyangga utama – Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
  • Ayat penyangga kecil – Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan.
  • Ayat kesimpulan – Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.


       Isi 4

  • Ayat topik – Masyarakat perlu membersihkan kawasan persekitaran mereka.
  • Ayat penyangga utama – Orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap.
  • Ayat penyangga kecil – Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
  • Ayat kesimpulan – Orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.


       Isi 5

  • Ayat topik – Sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini.
  • Ayat penyangga utama – Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
  • Ayat penyangga kecil – Tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.
  • Ayat kesimpulan – Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.

      

 Penutup.

  • Rumusan keseluruhan – Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat.
  • Harapan – Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.


 

 


Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING